Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Yusof berkata, sasaran itu mampu dicapai walaupun angka unjuran tersebut tidak begitu memberangsangkan ketika ini tetapi ia mampu dilakukan jika para usahawan membuat persediaan yang cukup termasuk dalam berdepan cabaran revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).

Menurut beliau, keyakinan itu juga berdasarkan kepada bilangan usahawan Bumiputera yang menceburi industri tersebut kian meningkat dan tidak mustahil Malaysia boleh mencapai unjuran KDNK kepada 42 peratus tidak lama lagi.

Merasa produk pempamer
MOHD. REDZUAN YUSOF (kanan) melawat gerai pameran yang terdapat pada program Konvensyen Usahawan Siswa (KUS 1.0) anjuran Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di Alor Gajah, Melaka sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE/AZLI AHAD

"Sumbangan IKS terhadap KDNK negara ketika ini masih tidak begitu memberangsangkan namun kita percaya ia mampu ditingkatkan kepada 42 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Jika kita lihat negara lain di Eropah mampu mencapai KDNK usahawan IKS mereka melebihi 50 peratus, kerajaan yakin sasaran peningkatan lima peratus daripada unjuran sekarang realistik dan mampu dicapai," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Usahawan Siswa (KUS 1.0) anjuran Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Abdullah Zainal dan Naib Canselor UCAM, Prof. Datuk Dr. Faridah Hanam Mohd. Rashid.

Program KUS 1.0 anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan UCAM itu dengan tema 'Transisi Paradigma Mahasiswa Prodigi' merupakan satu platform untuk mendedahkan graduan UCAM ke arah kerjaya keusahawanan.

Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan berkata, pihaknya berharap peruntukan menerusi pembentangan Bajet 2019 yang akan diumumkan pada November ini akan turut mengambil kira dana yang bakal diberikan kepada usahawan IKS itu dan ini mampu memberi perangsang kepada mereka antaranya daripada segi motivasi, kemudahan prasarana dan idea-idea baharu untuk peluang-peluang perniagaan.

Bermesra bersama peniaga
MOHD. REDZUAN YUSOF (kanan) melawat gerai pameran yang terdapat pada program Konvensyen Usahawan Siswa (KUS 1.0) anjuran Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di Alor Gajah, Melaka sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE/AZLI AHAD

Katanya, kerajaan baharu Pakatan Harapan sentiasa memberi penekanan terhadap usaha membantu golongan usahawan di negara ini memajukan diri masing-masing namun pada masa yang sama, para usahawan perlu mematangkan diri mereka agar mampu berdaya saing dan berada dalam kelompok usahawan hebat yang mampu memberi persaingan di peringkat global.

"Sebagai contoh jika ada seorang usahawan tempatan yang mampu menjadi pembekal peralatan dron kepada lebih 20 buah negara di seluruh dunia, itu sudah cukup baik kerana beliau bukan menghasilkan dron tetapi teknologi maklumat yang diciptakan itu membolehkan dia berjaya sebagai usahawan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.

"Jika ditanya tentang peruntukan yang disediakan oleh kerajaan pula, kita tidak mahu sebut angka-angka bantuan, sebaliknya kita kekalkan kemudahan dan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan terdahulu, cuma kita mahu perbaiki sistem pengurusan agar sistem bantuan yang ada itu diuruskan dengan baik," jelas beliau. - UTUSAN ONLINE