Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sasaran RM300 juta itu tidak termasuk sebarang perjanjian perdagangan sama ada domestik atau antarabangsa yang akan ditandatangani semasa pemeran berlangsung.

Katanya, sasaran RM300 juta iaitu peningkatan sebanyak RM150 juta berbanding edisi 2014 itu diyakini mampu dicapai kerana pelbagai ‘kejutan’ baharu akan dipertontonkan kepada pelabur-pelabur asing, pemain industri pertanian serta orang awam.

Malah katanya, sehingga kini lebih 90 peratus daripada 1,500 gerai habis ditempah pemain industri pertanian, termasuk oleh 18 buah negara asing, sekali gus menjadikan MAHA 2016 merupakan pameran industri asas tani terbesar di rantau ini.

“Kita menjanjikan MAHA 2016 ini penuh dengan warna-warni serta berlainan berbanding edisi terdahulu. Sasarannya ialah sekurang-kurang tiga juta pe­ngunjung hadir dengan segmen orang muda bakal menjadi tarikan utama untuk edisi kali ini.

“Bagi tujuan itu, kami akan mengoptimumkan sepenuhnya tempoh pameran dengan pengisian menarik di sebelah malam akan dipertontonkan kepada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Countdown 99 hari MAHA 2016 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, di sini hari ini.

Bertemakan Our Food Our Future, MAHA 2016 yang turut disertai antaranya China, Jepun, Sepanyol, Kanada, Australia, Iran, Afrika Selatan, Korea Selatan, Ecuador dan Pakistan itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menyentuh mengenai isu keselamatan berikutan ancaman semasa, Ahmad Shabery berkata, pihaknya akan berkerjasama dengan polis bagi memastikan saringan serta tahap kawalan dapat dipertingkatkan tanpa mengurangkan kemeriahan pameran.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan keupayaan pasukan keselamatan negara untuk memastikan MAHA 2016 berlangsung dalam keadaan terbaik tanpa sebarang insiden tidak diingini.