Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata keputusan itu dibuat semasa Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Bapa semalam.

"Keputusan ini dibuat setelah kes positif Rabies dalam kalangan manusia mencatatkan 17 kes dengan 16 kes kematian dan jumlah kawasan yang positif Rabies telah meningkat sebanyak 61 kawasan di seluruh Sarawak kecuali bahagian Limbang.

"Pengurusan Bencana Tahap II ialah pengurusan dan pengendalian kejadian bencana yang berlaku melebihi satu daerah negeri yang memerlukan penyelarasan dan pengemblengan sumber di peringkat negeri dengan bantuan daripada peringkat pusat," katanya yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Uggah berkata, JPBN bertanggungjawab untuk menggerakkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri bagi memastikan segala tindakan dilaksanakan secara teratur, cekap dan terselaras.

"Ketua Polis Negeri dan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri adalah bertanggungjawab sebagai Komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana apabila pengendalian bencana diambil alih secara keseluruhannya oleh peringkat negeri," katanya.

Dalam pada itu, Uggah turut mencadangkan beberapa penambahbaikan dalam operasi membanteras Wabak Rabies dengan berkesan dan menyeluruh menerusi arahan MKN 20.

"Antaranya adalah Pengurusan kes Rabies yang lebih berkesan bagi manusia; Kesedaran dan Komunikasi Risiko penyakit Rabies; Pengawalan penyakit Rabies yang bersepadu termasuk mengambil tindakan ke atas anjing yang terbiar; Menambah baik fasiliti diagnostic dan meningkatkan aktiviti survelan; Menguatkuasakan pelesenan dan vaksinasi anjing dan Menambah bilangan Sumber Manusia dan logistic yang diperlukan," katanya.

Pemilik anjing juga dinasihatkan agar tidak membiarkan anjing mereka bebas berkeliaran dan membawa anjing keluar dari kawasan wabak Rabies tanpa kebenaran bertulis dari "State Veterinary Authority".

Jika didapati melakukan kesalahan tersebut, pemilik anjing boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 37 (2) (amp) (3) Ordinan Kesihatan Awam Veteriner 1999. - BERNAMA