Pengarah Maritim negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, operasi SAR yang dijalankan selama 10 hari berjaya menemukan seorang mangsa wanita, Puah Geok Tin, 57, bersama-sama sebuah kayak dan barang-barang peribadi mangsa.

"Operasi SAR ditamatkan berikutan tiada lagi sebarang petunjuk baharu ditemui selepas penemuan mangsa wanita berkenaan pada 14 Ogos lalu.

"Setakat ini, hanya seorang mangsa wanita ditemui manakala seorang lagi mangsa lelaki, Tan Eng Soon, 62, tidak dapat ditemukan. Walau bagaimanapun, operasi SAR akan diaktifkan semula jika terdapat petunjuk baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aminuddin berkata, operasi SAR yang dilaksanakan selama 10 hari meliputi skop pencarian di laut dan udara melibatkan lima aset udara serta 11 aset laut dari pelbagai agensi membabitkan 155 anggota dengan anggaran kos operasi sebanyak RM431,380.

Katanya, operasi SAR yang dikoordinasikan Maritim Malaysia mendapat kerjasama jitu daripada pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Semua pihak perlu menitikberatkan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut serta melakukan persediaan sewajarnya seperti cakna tentang ramalan cuaca dan pematuhan undang-undang bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini daripada berlaku.

"Sebarang kejadian kecemasan di laut, segera hubungi talian MERS 999 atau MRSC Johor Bahru di talian 07-221 9231," katanya. - UTUSAN ONLINE