Perdana Menteri menyifatkan harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah yang termeterai melalui Perjanjian Air 1962 itu sebagai tidak munasabah.

Tegasnya, apakah Malaysia perlu menunggu satu milenium atau 1,000 tahun lagi untuk melihat harga tersebut akan disemak semula.

“Pada masa itu satu sen boleh beli banyak barang, itu yang saya cerita, jadi waktu ini satu sen tak boleh beli apa, tiga sen pun tak boleh beli apa.

“Sepatutnya harga sesuatu barang itu mengikut keadaan semasa, hari ini kita tidak bercakap pasal millionaire lagi tetapi billionaire kerana pendapatan manusia sudah me­ningkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pelancaran Dasar Komuniti Negara di sini hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Dr. Mahathir membangkitkan semula hasratnya menaikkan harga air yang dijual kepada Singapura sebanyak 10 kali ganda daripada kadar semasa.

Namun, kenyataan itu menerima reaksi negatif daripada Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Bala­krishnan yang bertegas mahu Malaysia menghormati terma-terma yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Air Sungai Johor 1962.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, perbincangan lanjut dengan Singapura berhubung isu tersebut kini giat dijalankan di bawah kelolaan Kementerian Luar.

“Kita sedang berusaha dan kita tentukan kumpulan kita ini termasuk pegawai-pegawai dari Johor tetapi yang akan mengetahui kumpulan kita ini adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah,” katanya.