Tinjauan Utusan Online mendapati, lebih malang lagi, kawasan itu juga berbau busuk dan memualkan sesiapa sahaja yang melalui jalan tersebut.

Seorang pengguna jalan itu, Mohd. Harun Mohd. Daud, 55, berkata, penduduk berhampiran yang mengambil jalan mudah dengan membuang sampah sarap di kawasan itu patut berhenti berbuat demikian.

Katanya, perbuatan itu bukan sahaja menjejaskan kebersihan alam persekitaran tetapi menimbulkan pandangan negatif pengguna jalan yang menganggap penduduk di situ pengotor.

“Saya harap mereka mencari tempat yang lebih sesuai untuk dijadikan tempat pembuangan sampah,” katanya.

Siti Solehah Solihin, 30, pula berkata, jarak kawasan itu yang jauh dari pusat bandar menyebabkan penempatan mereka tidak diselia pihak berkuasa tempatan (PBT), menyebabkan tiada tong sampah besar di sediakan di situ.

Katanya, perkara menjadi lebih buruk apabila penduduk mengambil jalan mudah melonggokkkan bungkusan sampah dari rumah mereka di sepanjang jalan tersebut.

“Saya harap pihak berkuasa dapat menyediakan kemudahan tong sampah atau tempat pembuangan sampah di kawasan ini bagi mengatasi masalah itu,” katanya.

Utusan Online sedang mendapatkan maklum balas pihak Majlis Daerah Gua Musang berhubung perkara ini. - UTUSAN ONLINE