Acara itu sekali gus melakar sejarah sebagai sambutan pertama negara di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan selepas gabungan politik itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 juga membawa simbolik perpaduan dalam kalangan rakyat di bawah tema ‘Sayangi Malaysiaku’ yang bertepatan dengan semangat kerajaan baharu.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan berangkat pada acara tahunan tersebut.

Turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Menteri Kabinet.

Dr. Mahathir tiba dengan menaiki kenderaan Proton Perdana 2.4 Stretch Limo dengan plat nombor istimewa Malaysia 2020.

Pembaharuan utama yang diketengahkan pada sambutan itu adalah empat segmen melibatkan penyertaan sebanyak 12,295 peserta melibatkan elemen kenegaraan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan rakyat bersepadu merupakan cerminan semangat patriotik dan cintakan negara.

Segmen-segmen tersebut diolah dan direka bersesuaian de­ngan tema serta semangat Malaysia baharu.

Sebanyak 37 kontinjen terdiri daripada kakitangan syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia terlibat dalam segmen kenegaraan.

Segmen seterusnya, adalah ketenteraman awam yang me­nyaksikan penglibatan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang memperagakan aset masing-masing.

Sementara itu, segmen kese­lamatan negara pula menampilkan kontinjen pelbagai unit pasukan beruniform termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mempamerkan aset daripada inventori masing-masing.

TUDM turut mempersembahkan pertunjukan udara melibatkan pergerakan lintas hormat dan formasi udara menggunakan pesawat-pesawat tempurnya iaitu Sukhoi SU-30MKM, Hornet FA-18D dan Hawk 108/208.