Presidennya, M. Raman berkata, sudah tiba masanya pihak kerajaan negeri Pulau Pinang mengkaji semula akta-akta atau peruntukan yang ada dan pindaan dibuat selaras dengan perkembangan semasa.

“Sekiranya sebelum ini hukuman atau denda yang dikenakan terhadap pelaku yang sesuka hati membuang sisa-sisa domestik, pepejal, industri dan sebagainya tidak setimpal dengan perbuatan mereka, maka, kerajaan negeri itu harus memikirkan bagaimana tindakan, denda atau hukuman yang lebih setimpal dikenakan di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Raman mengulas saranan Jagdeep Singh Deo iaitu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancang Bandar Pulau Pinang yang mencadangkan supaya beberapa peruntukan di bawah akta berkaitan perlu dipinda bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dengan isu pembuangan sampah secara haram di negeri Pulau Pinang.

Jagdeep dikatakan mengemukakan cadangan itu menerusi Buletin Mutiara (keluaran 16-31 Mei 2019).

Tambah Raman, penguatkuasaan akta berkenaan bagaimanapun perlu dilakukan dengan tegas supaya mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab berasa gentar untuk melakukan sesuatu perkara yang membabitkan pencemaran alam sekitar.

Katanya, SAM percaya jika tindakan undang-undang yang tegas tidak diambil ke atas pelaku yang terlibat dengan perbuatan sebegini, maka, kesan yang lebih buruk kepada alam sekitar dan kesihatan awam akan berlaku di masa-masa akan datang.

“Sehubungan itu SAM berharap pihak Kerajaan Negeri benar-benar tegas dan memberi perhatian serius mengenai isu pencemaran alam supaya mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya bertindak mencemarkan alam sekitar di negeri ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE