Menurut isteri­nya, Juriah Bachok, berita palsu tentang kematian suaminya itu memberi tekanan buat dia dan keluarga yang sedang diselubungi kesedihan.

“Keadaan dia sangat parah dan boleh bayangkan tak bagaimana perasaan saya dan keluarga ketika ini sedang bersedih serta mengharapkan dia lekas sembuh.

“Saya amat terkejut bila dihubungi rakan media bertanyakan tentang berita ini sedangkan kami sendiri tidak tahu.

“Andai kata benarlah, orang pertama yang sepatutnya diberitahu ialah waris keluarga. Bagaimana orang luar lebih tahu berbanding kami sekeluarga?” katanya dalam nada kesal ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Kekesalan Juriah tambah berganda apabila berita kematian suaminya itu bukan kali pertama disebarkan.

Katanya, sebelum ini suaminya pernah dimasukkan ke hospital akibat sakit lain dan dia masih bersabar sekali pun tersebar laporan palsu me­ngenai Saleem yang didakwa meninggal dunia.

“Namun kali ini, kami sekeluarga tidak dapat menerima (berita palsu) sebab insiden kali ini disebabkan dia kemalangan dan keadaannya parah.

“Orang awam hanya tahu mengambil kesempatan dalam kesedihan kami sekeluarga. Lebih baik mendoakan kesembuhan Saleem daripada menyebarkan fitnah,” tegasnya lagi.

Dalam kejadian pada pukul 3.20 petang semalam, motosikal yang ditunggang Saleem atau nama sebenarnya, A. M Saleem Abd. Majeed, 57, bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 16 Lebuh Raya Grand Saga.

Saleem kini sudah dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan lanjut selepas tulang rusuknya patah dengan satu daripadanya tercucuk pada paru-paru.