SalamToday menambah ikon dibawah laman sesawang SalamWeb yang telah mempunyai perkhidmatan sedia ada seperti SalamWeb, SalamChat, SalamNews dan Salam Sadaqah.

Pengarah Urusan SalamWeb Technologies MY Sdn. Bhd., Hasni Zarina Khan berkata, SalamToday adalah untuk mewujudkan satu rangkaian platform digital ummah untuk keperluan pengguna Muslim.

“Matlamat laman sesawang itu adalah untuk memberi maklumat, inspirasi dan memperkasakan pengguna di seluruh dunia dengan gaya hidup positif, berita dan perkembangan hal ehwal semasa untuk disesuaikan.

“Produk terbaharu SalamWeb itu adalah memberi tumpuan yang jelas berkaitan komuniti dan menyediakan kandungan yang penting kepada pengguna,” katanya ketika majlis pelancaran SalamToday di Subang Jaya dekat sini hari ini.

Pelancaran tersebut turut dimeriahkan persembahan artis jemputan Noryn Aziz, Siti Sarah dan Ziana Zain serta pertunjukan fesyen oleh Anuar Faizal.

Ziana Zain turut menjadi ikon Muslim pertama muka depan digital SalamToday supaya dapat memberi inspirasi kepada gaya hidup Muslim moden.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Gaya Hidup SalamWeb Technology MY, Shah Shamshiri berkata, SalamToday menyediakan platform gaya hidup Muslim moden untuk berkongsi pengguna kepada rangkaian rakan lain.

“Laman sesawang itu mengandungi enam segmen antaranya selera, singgah, seni, suka dan sahsiah.

“SalamWeb menggunakan bahasa Melayu sebagai platform utama dan terdapat segmen antarabangsa yang mengandungi artikel bahasa Inggeris untuk semua pembaca,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE