Namun, nama yang disebut-sebut menggantikan Datuk Osman Sapian ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal, 44.

Secara konsesusnya, Menteri Besar Johor perlu dipilih dalam kalangan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan ekoran peletakan jawatan Osman, Menteri Besar baharu mesti dipilih dalam kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.

DR. SAHRUDDIN JAMAL
DR. SAHRUDDIN JAMAL 

Dua nama disebut dalam kalangan Exco itu selain Dr. Sahruddin ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infra­struktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang.

Namun, Dr. Sahruddin yang merupakan Setiausaha Bersatu negeri dan lulusan Sarjana Perubatan Universiti Hasanuddin dikatakan calon terbaik.

Beliau disifatkan mempunyai kredibiliti kepemimpinan yang dapat dilihat sewaktu mengen­dalikan kes pencemaran toksik Sungai Kim Kim di Pasir Gudang ketika Osman tiada di negeri ini.

Kelibat anak kelahiran Muar itu sentiasa dilihat, sama ada di pusat rawatan awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) mahu pun di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah.

Menguatkan spekulasi itu, Dr. Sahruddin sepatutnya menghadiri Program Reformasi Peladang peringkat negeri di Dewan Serbaguna Felda Bukit Ramun, Kota Tinggi, pukul 9 pagi esok, namun akan diwakili Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar nege­ri, Dzulkefly Ahmad.

Mingguan Malaysia difahamkan, Dr. Sahruddin sudah menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi hari ini.

Sultan Ibrahim hari ini memberi perkenan peletakan jawatan Menteri Besar oleh Datuk Osman Sapian sekali gus menamatkan semua spekulasi berhubung perkara itu dan pada masa sama diharap krisis di antara Raja pemerintah negeri dan kepemimpinan pusat diakhiri dengan baik.

Dengan pelantikan Menteri Besar baharu itu, pentadbiran negeri ini bakal menyaksikan rombakan dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana ia merupakan antara syarat tertentu diberikan Sultan Ibrahim bagi memberi perkenan pelantikan individu baharu yang bakal mentadbir negeri ini.

DR. SAHRUDDIN JAMAL

Umur: 43 tahun

ASAL: Muar, Johor

ADUN: Bukit Kepong

PENDIDIKAN: 
Doktor (MD) Sarjana Perubatan Universitas Hasanuddin, Sulawesi Selatan, Indonesia

PARTI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

JAWATAN DALAM PARTI:

Setiausaha Bersatu Negeri Johor

AJK Bahagian Pagoh Bersatu Johor