Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, kerajaan perlu membuat rundingan terus dengan pemilik tanah agar dapat mengenal pasti hasrat sebenar mereka.

"Saya yakin rata-rata pemilik tanah Kampung Baru ingin melihat tanah mereka dimajukan, tawaran yang baik dengan manfaat bersama sudah tentu menarik minat untuk menjalin kerjasama.

"Justeru, segala tawaran dan keuntungan di masa hadapan harus melalui perbincangan secara dua hala antara kerajaan dengan pemilik tanah, bukan wakil-wakil mereka," katanya yang juga Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Kampung Baru dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Khaled Abdul Samad berkata, suntikan dana sebanyak RM6 bilion hingga RM10 bilion mungkin diperlukan sekiranya berhasrat untuk membeli tanah Kampung Baru di sini bagi tujuan pembangunan.

“Masalah pembangunan di Kampung Baru satu sahaja, iaitu nak adakan duit mencukupi untuk membeli seluruh tanah lebih kurang 250 ekar daripada pemilik supaya kita boleh bangunkan secara tersusun, bersepadu dan mengikut pelan menyeluru," katanya. - UTUSAN ONLINE