Menurut kenyataan rasmi dalam laman web Rumawip bertarikh November 2018, projek itu tidak dapat diteruskan selepas Kementerian Wilayah Persekutuan memutuskan untuk mene­liti semula cadangan pembinaan projek [email protected] yang terletak bersebelahan terminal pengangkutan awam Putrajaya Sentral.

Lebih menyedihkan projek itu sepatutnya siap pada 2024 juga menawarkan 500 unit rumah dengan keluasan 213.3 meter persegi pada harga RM80,000 yang dikhususkan kepada kakitangan kerajaan kumpulan sokongan Gred N17, warga Wilayah Persekutuan berpendapatan rendah dan golo­ngan orang kurang upaya (OKU).

Projek Rumawip yang julung kali di sini itu juga dijangka mempunyai 1,500 unit kediaman pada harga RM270,000 seunit dengan keluasan lantai 243.8 meter persegi.

Seorang pemohon projek berkenaan yang mahu dikenali sebagai Faizal, 38, mendakwa dia hanya mengetahui perkembangan itu baru-baru ini dengan pihaknya tidak mendapat sebarang hitam putih berhubung perkara berkenaan.

"Kami cuma mengetahui menerusi kenyataan rasmi dalam laman web Rumawip dengan tanpa sebarang notis atau surat pemberitahuan.

"Saya sangat ralat sekali kerana impian untuk menghuni rumah dengan kadar mampu milik akhirnya terpaksa berputih mata di atas keputusan kerajaan itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, dia mengesa kerajaan meneruskan projek tersebut walaupun ia dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu.

"Walaupun sudah bertukar kerajaan, benda baik hendaklah diteruskan, jangan pula menjadikan rakyat sebagai mangsa keadaan," katanya.

Sementara itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim memaklumkan, projek berkenaan sehingga ini akan diambil alih oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Pihak Kementerian Wilayah Persekutuan menutup permohonan pembeli [email protected] apabila PPj batalkan projek ini," katanya.