Terletak di kawasan strategik dekat Dataran Tualang Sekah di atas tanah seluas kira-kira 2.8 hektar, projek tersebut melibatkan pembinaan 54 unit rumah dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air seluas 860 kaki persegi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi  berkata, projek yang dikendalikan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) itu dibangunkan oleh syarikat pemaju, Mimbar Nusantara Holdings Sdn. Bhd.

"Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk membantu rakyat dalam memiliki kediaman sendiri memandangkan harga hartanah di Kampar adalah agak tinggi.

"Jadi, dengan usaha oleh kerajaan negeri ini, ia dapat memastikan mereka bukan sahaja sekadar hidup menyewa tetapi memiliki kediaman idaman sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program cabutan undi bagi projek rumah berkenaan di Pusat Khidmat ADUN Tualang Sekah, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamad Sabri Ahmad dan Pengarah Urusan Mimbar Nusantara Holdings Sdn. Bhd., Nazrin Cheong Abdullah. 

Sementara itu, Mohamad Sabri berkata, Rumah Perakku Tualang Sekah melibatkan dua fasa pembangunan dengan fasa kedua membabitkan rancangan pembinaan rumah kedai dan status pembangunannya ketika ini mencapai 50 peratus.

"Skim perumahan ini dibuat  berdasarkan kaedah dana mudah cara di mana sebahagian kos infrastruktur dan tanah disubsidi oleh pihak kerajaan," katanya. - UTUSAN ONLINE