Pengarah dan pelakon popular, Datuk Rosyam Nor berkata, kesedaran awal amat penting bagi memastikan mereka memanfaatkan setiap peluang sebagai persediaan pada masa depan.

Beliau yang juga Idola Pela­buran Permodalan Nasional Bhd. Development (PNBD) berkata, golongan muda perlu berani kerana pemilikan rumah bukanlah satu angan-angan Mat Jenin.

“Sebenarnya golongan muda bukan tidak mampu, mereka sedar tentang peluang yang ada tetapi disebabkan harga yang tinggi, mereka hanya sekadar mengambil sikap sambil lewa.

“Mereka cenderung membazir dengan gaya hidup seperti orang kaya, contohnya di Starbucks, sentiasa penuh sedangkan anda boleh dapat kopi yang sama dengan harga lebih murah.

“Saya menyeru golongan belia supaya lihat ke hadapan, masa yang terbaik untuk mendapatkan aset hartanah adalah sekarang,” katanya dalam sesi perkongsian program Idola PNBD sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 di sini hari ini.

Program itu adalah usaha PNBD dalam menyalurkan pendidikan dan kesedaran kepentingan membuat pelaburan kewangan serta aset bagi menjamin masa depan golongan muda.

Rosyam turut berkongsi kesusahannya semasa kecil yang menetap di kawasan setinggan Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur dan hingga kini mampu miliki rumah mewah di kawasan sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNBD, Mohd. Salem Kailany berkata, kini peluang melabur dalam sektor hartanah adalah lebih besar berbanding dahulu dengan pelbagai bantuan.

“Nasihat saya kepada orang muda, jangan takut untuk me­labur, tanya kepada mereka yang pakar. Beli rumah patut menjadi perkara yang menggembirakan, bukan menakutkan,” katanya.

PNBD sebelum ini menyatakan komitmen untuk membina sebanyak 5,000 buah rumah mampu milik menerusi tiga projek perumahan di Port Dickson, seterusnya Pedas dan Banting.

Projek pertama di Bagan Pinang, Port Dickson yang dilancarkan 17 April lalu sudah habis dijual manakala projek kedua di Teluk Datok, Banting pula akan dilancarkan pada Jun ini.