Begitu cerita detik-detik cemas pasangan warga emas dari Kampung Tanjong Sempering di sini, yang sekaligus memaksa mereka tidak sempat berfikir apa-apa melainkan daripada bergegas keluar untuk menyelamatkan diri dalam kejadian ribut di negeri ini, malam tadi.

Beberapa saat kemudian Ahmad Kancil, 73, dan isterinya, Rohani Saad, 56, menjadi saksi bagaimana rumah tersebut ranap dalam sekelip mata sekali gus menyelamatkan mereka daripada maut.

Kata Ahmad, sebaik sahaja kaki melangkah keluar dia melihat alang kayu dan bumbung terbang sebelum rumah berkenaan ranap dibadai ribut yang disifatkan paling buruk itu.

Katanya, akibat kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, dia mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki akibat tersadung ketika menyelamatkan diri manakala isteri pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Saya merasakan rumah bergoyang dan tiupan angin cukup kencang. Kami tergerak hati untuk keluar daripada rumah bagi menyelamatkan diri. Sebaik sahaja keluar, rumah saya rebah menyembah bumi.

"Saya merasa sebak melihat sendiri bagaimana rumah yang didiami bersama isteri ranap tanpa sempat menyelamatkan apa-apa termasuk peti sejuk dan televisyen yang baru dibeli," katanya.

Dalam pada itu, katanya, sambutan Aidiladha esok sudah tidak bermakna bagi mereka selepas hilang tempat berlindung.

Utusan Online hari ini melaporkan, sebanyak 98 buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan dengan yang paling teruk terjejas adalah di kawasan Bintong di sini, akibat ribut yang melanda negeri itu malam tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohammad Hazam Ismail dilaporkan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 51 buah rumah adalah di kawasan Bintong, setakat sehingga pukul 11.30 malam tadi.

Dalam kejadian itu, ribut beserta hujan lebat melanda hampir kesemua tempat di negeri ini sehingga mengakibatkan kerosakan rumah, pokok tumbang dan kerosakan fizikal premis-premis perniagaan.

Angin bertiup kencang bermula kira-kira pukul 8 malam ini dan hanya reda pada pukul 10.45 malam.

Menurut Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Perlis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), terdapat 74 kes pokok tumbang diterima dengan membabitkan sembilan lokasi. - UTUSAN ONLINE