Jabatan Penyiaran dalam kenyataan berkata, program yang didakwa Pengerusi Ummah Terengganu, Wan Mohd. Faizul Wan Abas itu sebenarnya adalah program berbentuk majalah motivasi yang disiarkan selama setengah jam bermula pukul 6 pagi.

"Program ini bukan program berunsur agama. RTM amat kesal dengan penyebaran berita yang tidak tepat ini. Program ini tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang di Malaysia.

"Ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) RTM dan diluluskan untuk siaran dengan klasifikasi (U) iaitu kategori tontonan semua lapisan masyarakat, tanpa had umur, memaparkan nilai-nilai murni, sopan dan memberi pengajaran positif serta menghiburkan," kata kenyataan itu.

Jelas Jabatan Penyiaran, setiap episod program itu memaparkan kejayaan dan kemajuan setiap individu yg berlainan latar bangsa dan agama bertujuan memberi motivasi kepada penonton untuk mencapai impian.

"Personaliti akan berkongsi pengalaman dan tips untuk mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing," katanya.

Jabatan Penyiaran memberi maklum balas terhadap kenyataan Wan Mohd. Faizul yang mendakwa stesen penyiaran awam milik kerajaan itu menyiarkan program mirip kuliah pagi menggunakan individu beragama Sikh.

Dakwa beliau, rancangan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang melarang ajaran agama lain disebarkan secara terbuka.

Beliau turut mendesak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan dan menyiasat perkara tersebut.

Utusan Online cuba menghubungi Wan Mohd. Faizul, tetapi tiada sebarang maklum balas daripada beliau. - UTUSAN ONLINE