Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan justeru telah dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri pada hari ini untuk tindakan selanjutnya.

"Laporan kimia dan perubatan daripada Jabatan Kimia dan hospital telah kita peroleh Isnin lalu manakala kertas siasatan juga telah kita angkat ke pihak Pengarah Pendakwaan Negeri untuk mendapat keputusan.

"Saya percaya pihak Pengarah Pendakwaaan Negeri akan mengangkat perkara ini ke Putrajaya (Peguam Negara). Jadi, kita masih menunggu jawapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru di sini.

Sehari selepas laporan dibuat, polis telah

menangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan selesai dalam tempoh 24 jam.

Sebelum ini, kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya, namun dikembalikan semula kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya bagi mendapatkan laporan pakar perubatan dan Jabatan Kimia.

Dalam perkembangan berlainan, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes samun barang kemas bernilai RM1 juta yang dilarikan empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang, Razarudin berkata kes berkenan masih dalam siasatan.

"Kita telah mengadakan dua kali mesyuarat perancangan, insyaAllah, kita yakin akan berjaya kenal pasti satu atau dua orang suspek dalam masa terdekat," katanya. - UTUSAN ONLINE