Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM50 juta untuk institusi pengajian Islam yang diumumkan dalam Bajet 2017.

Katanya, Kelantan yang memiliki sekolah pondok dan sekolah agama rakyat paling banyak menerima peruntukan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Dengan jumlah RM9.6 juta ini, secara puratanya setiap institusi menerima sumbangan sekurang-kurangnya RM200,000.

“Kita harap wang ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk tujuan pembangunan institusi termasuk menaik taraf prasarana dan aspek keselamatan bagi mencegah kemalangan seperti kebakaran," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis simbolik pengagihan sumbangan tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa komited dalam memperkasakan institusi Islam seperti sekolah pondok dan tahfiz di seluruh negara.

“Menjelang 2050 kita menyasarkan untuk mempunyai seramai 135,000 huffaz dan institusi pondok akan jadi teras kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah yang perlu diperkasa sebagaimana hasrat Perdana Menteri," katanya.