Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik (gambar) berkata, kerja-kerja baik pulih termasuk laluan bas dan serta ruang niaga yang berada dalam terminal tersebut.

“Ruang niaga terbiar di bahagian atas terminal berkenaan dijadikan dewan orang ramai yang akan dapat digunakan penduduk pekan Kukup Laut bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

“Langkah ini diambil bagi mencegah kegiatan tidak sihat serta masalah sosial di kawasan terminal yang boleh menjejaskan imej pekan Kukup Laut sebagai destinasi pelanco­ngan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sebagai destinasi pelancongan utama di daerah ini, terminal pengangkutan itu yang menempatkan bas dan teksi perlu dalam keadaan baik sebagai pintu masuk pelancong.

Md. Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengalu-alukan maklum balas segera daripada MDP yang prihatin dengan permasalahan yang dibangkitkan penduduk setempat mengenai terminal tersebut.

“Pekan Kukup Laut juga merupakan pintu masukb melalui jalan laut dari Tanjung Balai, Indonesia ke daerah Pontian yang menjadi tumpuan ramai pada cuti hujung minggu, cuti umum mahupun pada musim perayaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap projek baik pulih yang dimulakan Disember lalu akan siap mengikut jadual iaitu bulan April ini dan seterusnya dapat digunakan oleh orang ramai.