DR. MAHATHIR MOHAMAD menerima sumbangan daripada Oesman Sapta bagi membaiki rumah yang musnah akibat nahas pesawat Jupiter dalam Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 di Langkawi, semalam. BERNAMA

Sumbangan tanda prihatin itu diserahkan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada pembukaan perasmian Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini.

Wakil Ketua MPRRI, Dr. Oesman Sapta berkata, sumbangan itu bertujuan membantu serta meringankan beban ditanggung keluarga berkenaan.

“Pihak kami sudah datang dan melawat keluarga itu selepas kejadian. Mereka terkejut dan tidak menyangka kehadiran kami yang mahu membantu mereka.

“Mereka sekeluarga juga tidak marah dengan apa yang sudah berlaku kerana mereka menganggap kejadian itu sebagai satu kemalangan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Oesman berkata, MPRRI komited mahu membantu keluarga berkenaan termasuk membaik pulih kerosakan rumah itu.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, pihaknya berterima kasih atas sumbangan bagi pembinaan semula rumah berkenaan.

“Ia dapat meringankan keluarga itu membaik pulih rumah termasuk membeli kelengkapan dan peralatan kediaman mereka,” katanya.