Menurutnya, kementerian itu mempunyai geran untuk R&D dan beliau telah mengetengahkan pandangan kepada jemaah menteri supaya sebahagian daripada dana tersebut digunakan bagi mewujudkan prototaip kereta nasional.

Bercakap dalam sidang media selepas majlis prapelancaran Eks­po Halal Malaysia 2019 (MHE2019) di sini hari ini, Redzuan juga berkata kos penyediaan prototaip kereta nasional, yang akan dibangunkan oleh vendor yang bakal diputuskan kelak, adalah lebih rendah daripada jumlah itu.

“Dana R&D yang dimiliki kementerian dianggarkan berjumlah RM20 juta, dan kita tidak gunakan kesemuanya untuk hasilkan prototaip kerana kita akui kos bagi bangunkan prototaip adalah lebih rendah daripada itu,” katanya mengulas pandangan sesetengah pihak yang mempertikaikan tindakan kementerian menggunakan wang kerajaan bagi menjayakan projek kereta nasional itu.

Semalam, Redzuan dilaporkan berkata, kementeriannya telah meluluskan dana bernilai hampir RM20 juta untuk menarik minat pelabur swasta bagi membangunkan prototaip kereta nasional ketiga.

Katanya, pengkritik projek ke­reta nasional tersebut tidak memahami perkara atau kebaikan tersirat di sebalik idea tersebut.

Perkara tersirat yang tidak diberi perhatian ialah kewujudan projek kereta nasional itu boleh menjadi pemangkin kepada ramai usahawan automotif dan mereka yang terlibat dalam internet of thing, robotik, perisian serta aeroangkasa untuk turut sama memperoleh peluang ekonomi. – BERNAMA