Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kempen anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEVATM) akan bermula bulan ini sehingga Februari tahun depan dengan disempurnakan isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali pada 19 September ini.

Katanya, setiap sumbangan yang disalurkan akan dikenakan pengecualian cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan resit rasmi akan dikeluarkan bagi tujuan tersebut.

“Hasil kutipan tabung itu nanti akan disalurkan kepada veteran ATM termasuk veteran orang kurang upaya, balu dan anak-anak. Kutipan juga akan digunakan untuk memberi bantuan kebajikan kepada veteran yang ditimpa musibah, bantuan alat perubatan serta bantuan khas pengurusan jenazah.

“Pengumuman berkenaan sumbangan dan penyampaiannya turut diadakan pada 19 September di samping majlis makan malam amal pada 25 Oktober depan. Di samping itu, pelbagai acara akan diadakan antaranya termasuklah program derma darah dan juga Larian 19.33 pada tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamad, semua lapisan masyarakat diseru untuk menyumbang kepada KTP, bersempena sambutan Hari Pahlawan peringkat Kebangsaan. - UTUSAN ONLINE