Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu bertujuan membawa mesej daripada generasi muda rantau ini mengenai kepentingan untuk memelihara keamanan sejagat.

“Objektif kita mahukan rantau ini sentiasa aman, tiada konflik dan bebas daripada sebarang unsur ekstremisme agama yang akan mengganggu keamanan rantau ini.

“Suara generasi muda ini perlu didengar dan perlu mengelakkan mereka daripada menyertai pasukan militan Negara Islam (IS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat pusat media LIMA 2015 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, program tersebut telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 300 peserta dari seluruh negara rantau ASEAN.

Beliau berkata, penyertaan melibatkan golongan belia profesional, usahawan muda dan pelajar universiti dalam bidang maritim dan aeroangkasa.

“Perkara yang dibawa dalam program tersebut adalah menyeluruh melibatkan pelbagai aspek dan tidak tertumpu kepada soal aeroangkasa serta maritim semata-mata,” katanya.