Bagaimanapun, menurut Rela dalam satu kenyataan, surat tersebut hanya mengenai penamatan penugasan dan bukannya melibatkan pemotongan elaun kepada semua ahli Rela.

“Penamatan penugasan PKKR tersebut dibuat setelah penilaian semula terhadap semua penugasan jabatan ini dilaksanakan pada pertengahan tahun lalu.

“Penilaian yang dibuat merangkumi aspek keperluan penugasan dan kedudukan kewangan semasa jabatan,” katanya di sini hari ini.

Dalam surat yang bertarikh 30 Julai lalu itu memaklumkan bahawa pengurusan tertinggi Rela telah bersetuju agar semua penugasan berbayar anggota Rela di 98 PKKR ditamatkan berkuat kuasa 1 September ini.

Surat tersebut yang ditandatangani oleh Pengarah Bahagian Operasi Rela, Mohamad Razib Buhaini bagaimanapun tidak menghalang sebarang penugasan yang dibuat di PPKR secara sukarela tanpa melibatkan bayaran elaun.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, penugasan rondaan keselamatan tersebut telah diwujudkan sejak Januari tahun lalu untuk membantu memelihara keselamatan setempat.

Jelasnya, penugasan tersebut yang melibatkan tugasan meronda dan bersifat sementara melibatkan sebanyak 294 anggota yang dibayar elaun bertugas.-UTUSAN ONLINE