Panglima 8 Briged Rejimen 512 AW , Brigedier Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri pada masa ini Rejimen 512 AW di Kem Padang Midin mempunyai kira-kira seramai 2,400 anggota, dengan lebih 30 peratus terdiri daripada kalangan pelajar.

"Selain itu melibatkan kakitangan kerajaan, swasta dan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pembukaan Latihan Kem Tahunan (LKT) Rejimen 512 AW di Kem Padang Midin, di sini hari ini.

Terdahulu beliau memeriksa perbarisan peserta  LKT yang melibatkan seramai 18 pegawai dan 175 anggota lain-lain pangkat. Yang turut hadir, Timbalan Komanden Rejimen 512 AW Kem Padang Midin, Lt. Kol. Roslan Mohd. Zain.

Dalam majlis itu tiga anggota turut dianugerahkan kenaikan pangkat kepada Kapten iaitu Shamsul Salim dan Zanordin Awang manakala Wan Ahmad Yusof Wan Affandi pula berpangkat Leftenan.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, pihaknya sudah menubuhkan pasukan untuk digerakkan dalam misi jika berlaku bencana banjir.

"Pada masa ini dua platun yang dianggotai oleh seorang pegawai dan 30 anggota (setiap platun) sudah bersedia untuk memberi bantuan jika berlaku bencana.

Sementara itu dalam ucapannya Muhammad Huzaimi berkata, penglibatan orang ramai melalui AW sebagai salah satu benteng pertahanan dalam konflik dan menangani bencana turut membantu meningkatkan semangat patriotisme serta mengukuhkan jati diri anak bangsa.

"Latihan ini yang diadakan adalah bertujuan agar mereka sentiasa  bersiap sedia pada bila-bila masa, dan memberikan khidmat berkesan untuk mempertahankan negara jika keadaan memerlukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE