Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah pendidikan merupakan proses sepanjang hayat dengan ilmu pengetahuan menjadi aset terpenting dalam kehidupan.

Titah baginda, di Pahang, kewujudan Kolej Komuniti diwujudkan di banyak daerah seperti Kuantan, Pekan, Rompin, Bentong, Bera dan Jerantut, yang semuanya dikendalikan pensyarah berkelayakan.

“Banyak program ditawarkan berdasarkan kepada kemahiran yang sangat menarik dan berpotensi jika dipelajari. Ilmu kemahiran merupakan salah satu faktor utama dalam penentu pertumbuhan sektor ekonomi.

“Saya bangga dengan semangat pensyarah Kolej Komuniti Pahang yang komited dalam menyampaikan ilmu kepada graduan untuk membina kemahiran, intelek dan jati diri graduan,” titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian semasa berkenan mencemar duli merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Pahang 2019 di sini hari ini, melibatkan 1,226 graduan peringkat diploma dan sijil institusi pendidikan tersebut.

Turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengarah Kanan Kompetensi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd. [email protected] Mohamood .

Tengku Hassanal seterusnya mengingatkan graduan Kolej Komuniti supaya menggunakan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk berbakti kepada masyarakat dan terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan.

“Walau setinggi mana pun ilmu yang dicapai dan dikuasai, biarlah mengikut resmi padi semakin tunduk semakin berisi. Ingatlah jasa ibu bapa, penjaga dan pensyarah yang sentiasa berusaha memberi ilmu kepada anda.

“Jadilah seorang graduan yang berketerampilan dan profesional serta dalam masa sama memiliki keperibadian yang teguh, mulia dan bebas daripada sikap riak mahupun meninggi diri,” titah baginda.

Tengku Hassanal juga berkenan menzahirkan rasa terima kasih kepada pensyarah dan pengurusan serta pentadbiran Kolej Komuniti yang melancarkan proses pendidikan di institusi berkenaan. - BERNAMA