Setiap murid menerima seba­nyak RM150 iaitu RM100 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan RM50 tambahan kerajaan menerusi PTPTN sebagai insentif khas Geran Sepadan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan tersebut sempena Program Mesra Bersama Perdana Menteri dan Jom Simpan Bersama PTPTN di pekarangan Masjid Kampung Tanjung Medang Hilir di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff; ADUN Chini, Datuk Abu Bakar Harun; ADUN Peramu Jaya, Datuk Seri Sh. Moh­med Puzi Sh. Ali dan ADUN Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud.

Menurut Shamsul Anuar, da­lam pembentangan Bajet 2017, Perdana Menteri mengumumkan pemberian insentif khas Geran Sepadan bagi simpanan terkumpul sehingga RM50 dalam akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus kepada murid tahun satu sekolah bantuan penuh kerajaan.

“Bermula 1 Januari lalu, seba­nyak RM25 juta disediakan untuk diberikan percuma kepada mereka yang layak dan ibu bapa disaran merebut peluang ini.

“Diharapkan sumbangan ini menjadi pemangkin kepada ibu bapa untuk memula dan meneruskan penabungan serta te­rus konsisten menabung untuk pendidikan anak-anak,” katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Anuar berkata, ba­gi menggalakkan lebih ramai masyarakat menyimpan, PTPTN turut menyediakan cabutan hadiah kepada pendeposit yang membuka atau menambah di dalam akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus melalui Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN.

“Lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000 disediakan untuk pendeposit. Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN merangkumi cabutan bulanan dan cabutan istimewa yang diadakan sebagai tanda penghargaan serta dorongan serta galakan kepada masyarakat negara ini.

Tambah beliau, ibu bapa yang mempunyai anak tahun satu dan membuka akaun atau membuat tambahan simpanan sama ada akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus sebanyak RM50 akan berpeluang memenangi hadiah sebanyak RM10,000 pada setiap bulan yang tamat Disember ini.

Orang ramai juga, kata beliau, boleh membuka akaun SSPN-i Plus pada bila-bila masa dengan mudah menggunakan hujung jari secara dalam talian melalui www.lovesspn.com

Sehingga 30 September lalu, katanya, sebanyak 3.10 juta akaun dibuka dengan jumlah deposit simpanan sebanyak RM2.94 bilion.

“Ibu bapa yang belum mempunyai perancangan kewangan pendidikan perlu memulakan langkah penabungan hari ini manakala yang mempunyai tabungan perlu terus konsisten,” katanya.