Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau telah bertemu Dr Xavier Jayakumar di Parlimen dan menulis surat kepada menteri itu namun dimaklumkan arahan penutupan tidak dapat ditarik semula sehingga mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan bahawa air loji berkenaan selamat digunakan.

Bagaimanapun katanya, Kementeri Kesihatan melalui Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye telah pun memaklumkan yang air loji berkenaan masih selamat bagi kegunaan lain kecuali untuk minum dan memasak.

“Saya harap setelah dinasihati oleh Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dapat memberi sedikit ruang kepada penduduk menggunakan air daripada loji itu untuk kegunaan selain daripada minum dan memasak.

“Saya telah merayu kepada mereka dan menulis surat secara rasmi malah telah menjalankan pelbagai usaha untuk memudahkan rakyat.

“Jadi saya kira kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kesihatan yang air dari loji itu selamat bagi kegunaan lain memadai untuk menarik balik arahan penutupan loji berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) dan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret) di Hotel Impiana di sini hari ini.

MoU tersebut bagi kerja-kerja pemasangan sistem rawatan air lapangan ‘SafeWhere’ sumbangan YSAS yang akan dibangunkan oleh Imaret di enam buah perkampungan Orang Asli di Daerah Batang Padang yang dijangka siap pada Ogos depan.

Terdahulu, Lembaga Air Perak (LAP) mengumumkan telah memberhentikan operasi di LRA Ayer Ganda di Gerik pada 9 April lalu selepas diarahkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ini ekoran ujian sampel air di LRA Ayer Ganda menunjukkan terdapat pencemaran arsenik meskipun ia berada pada paras yang rendah dan di bawah piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kurang daripada 0.01 miligram untuk setiap liter.-UTUSAN ONLINE