Jika dahulu ibu bapanya setia menunggu kepulangan Muhammad Adib, sama ada sebelum atau selepas Hari Raya Aidilftri, mengikut tugasan sebagai anggota bomba, kini tiada lagi penantian buat mereka berdua.

Kata Mohd. Kassim Abdul Hamid, 64, sayu, dia dan ahli keluarga perlu ‘menelan’ bahawa tiada lagi berpuasa dan berhari raya bersama-sama Muhammad Adib dan sudah tentulah mereka akan merasai perbezaannya.

“Tahun-tahun dahulu, sebelum atau selepas raya dia (Muhammad Adib) tetap akan pulang untuk meraikan Aidilfitri... Kami faham tuntutan tugas sebagai anggota bomba (kadang-kadang dapat cuti pada hari raya) dan ada kalanya kena bekerja.

“Tetapi, kali ini kami kena akurlah sama ada sebelum atau selepas hari raya nanti, Allahyarham tetap tidak akan pulang (ke rumah) buat selama-lamanya.

“Malah, raya kali ini juga tak sama kerana dahulu ramai dan meriah lah, sekarang tidak (ramai) maka jadi sunyi sedikit,” kata Mohd. Kassim ketika ditemui di Kampung Tebengau di sini, hari ini.

Allahyarham Muhammad Adib terlibat dalam rusuhan ketika kekecohan di sebuah kuil di Subang Jaya pada 27 November tahun lalu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya 21 hari kemudian.

Ditanya perkembangan inkues kes melibatkan Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Mohd. Kassim enggan mengulas lanjut.

Hari ini, peguam, Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta keluarga Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Perkara itu dimaklumkan Syazlin di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner ketika prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner.

Dalam kejadian tersebut, Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam, 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN). -UTUSAN ONLINE