Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, perbincangan selama tiga hari telah diadakan dengan tiga negara iaitu Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa hingga Khamis lalu.

“Kita sebenarnya lebih menumpukan kepada bukti-bukti berbentuk keterangan yang diambil di tiga negara tersebut.

“Kita memerlukan keterangan-keterangan tersebut untuk siasatan, mereka juga memerlukan keterangan diambil di negara ini untuk teruskan siasatan mereka dan usaha membawa pulang aset yang dirampas juga merupakan perkara yang dibincangkan,” katanya.

Tambahnya, sekiranya aset-aset tersebut tidak dapat dibawa pulang, pihaknya akan cuba mendapatkannya dalam bentuk nilai.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program temubual #SPRM360 anjuran Radio Bernama di Wisma Bernama di sini sebentar tadi.

Sebelum ini, Jabatan Kehakiman (DoJ) AS menyenaraikan antara barang rampasan yang menggunakan dana 1MDB yang diseleweng adalah, kapal layar mewah The Equanimity, karya-karya seni Pablo Picasso, Vincent Van Gogh, Jean-Michel Basquiat dan Claude Money, jet Bombardier Global 5000 serta barangan kemas yang bernilai jutaan ringgit. - UTUSAN ONLINE