Pengarahnya, Rahmah Ilias memberitahu pemberita di sini hari ini, haiwan dalam milikan mereka termasuklah burung murai batu, helang bahu hitam, murai belanda, landak raya, memerang, ular sawa burma dan musang.

“Dalam serbuan pertama di rumah yang dihuni empat pekerja kilang papan warga Indonesia di Kampung Jabi, lapan ekor burung murai batu, dua ekor ayam hutan dan masing-masing seekor burung murai belanda, burung helang bahu hitam dan burung kunyit kacat ditemukan.

“Serbuan kedua pula di sebuah rumah seorang pemandu jentolak warga tempatan tidak jauh dari lokasi pertama pula, ditemukan 10 ekor landak raya, tiga ekor kura-kura di samping se­ekor meme­rang, musang serta ular sawa burma,” katanya.

Rahmah berkata, kesemua suspek telah diambil keterangan berhubung penemuan haiwan-­haiwan dilindungi terbabit di Balai Polis Kampung Raja, Besut.

Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan ke­semua haiwan terbabit terutama burung murai batu dan landak raya diburu dan dipelihara tanpa permit untuk dijual di pasaran gelap berikutan permintaan dan harganya yang tinggi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Ia juga disiasat mengikut Seksyen 68(1)(a) akta sama dan jika sabit kesalahan, denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan,” katanya.

Rahmah berkata, Perhi­litan Terengganu komited menjejaki pihak yang memburu dan mempelihara haiwan terancam dan dilindungi demi mengelakkan kepupusan.