RAMKARPAL SINGH
RAMKARPAL SINGH

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, CEP, katanya, dilantik oleh kerajaan dan kini peranan mereka seolah-olah melambangkan peranan sebuah kerajaan.

Katanya, apabila CEP menuntut hakim-hakim meletakkan jawatan, ia seperti kerajaan yang meminta perkara itu dilakukan yang turut bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa di negara ini.

“Ini merupakan satu perkara asas dalam mana-mana negara demokrasi bahawa kuasa eksekutif tidak boleh mengganggu dalam hubungan kehakiman.

“Tidak salah mengkritik mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, bagaimanapun, ia menjadi satu masalah apabila menuntut mereka untuk meletakkan jawatan. Ia amat salah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang mempertahankan tindakan CEP yang memanggil hakim-hakim tertinggi sebagai salah satu daripada usaha berterusan pihak itu untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan di negara ini.

Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin seperti mana yang dilaporkan sesetengah pengamal undang-undang, telah didakwa memanggil Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dalam satu pertemuan sebelum didakwa meminta mereka meletakkan jawatan.

Sehubungan itu, Raus dan Zulkefli hari ini dilaporkan akan meletakkan jawatan masing-masing berkuatkuasa 31 Julai ini.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan memberitahu, kedua-dua mereka telah mengutuskan surat peletakan jawatan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 7 Jun lalu.

Tambah Ramkarpal, Perlembagaan Persekutuan sebenarnya telah menetapkan mekanisme penyingkiran hakim dan ini mesti dipatuhi sepanjang masa selaras dengan peraturan undang-undang.

“Majlis Penasihat Kerajaan secara jelas telah melangkaui batasan dalam kes ini dan tidak boleh diterima,” ujarnya. UTUSAN ONLINE