Arman Jaafar, 46, berkata, walaupun insiden tersebut telah berlaku lebih 30 tahun lalu, ba­nyak pihak masih menularkan cerita sensasi yang tidak berasas mengenai Adam.

“Macam-macam yang mereka­ kata. Malah, kawan-kawan pun ramai tak tahu cerita sebenar. Mereka kata Adam dibela, diberikan rumah dan sejumlah wang (kononnya untuk menutup mulut daripada bercerita kisah adik dipukul hingga mati oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail).

“Sebenarnya, tak ada apa pun (diberikan rumah atau wang). Itu sahaja. Apa yang berlaku itu (insiden amuk) juga tidak ada kena- mengena dengan Almarhum,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bayan Baru di sini baru-baru ini.

Seorang lagi adik kepada Adam yang juga kakak Arman, Hawa, 53, turut menyokong dakwaan adiknya itu dan memberitahu, abang mereka mengamuk hanya disebabkan tekanan yang berlaku di tempat kerja atau kem tentera yang didiaminya ketika itu.

“Selepas mendengar berita­ ko­nonnya adik kami telah dibunuh, kami cuba ke depan (untuk beri penjelasan), tapi tak ada orang mahu dengar.

“Apabila kami buka mulut, mereka cakap kami telah dibayar. Tapi, tengoklah keadaan kami sekarang (merujuk kepada pangsapuri biasa yang menjadi kediaman mereka) jika betul kami dibayar RM10,000 sebulan,” katanya.

Tambah Hawa, ada pihak ter­tentu pernah datang ke rumahnya dengan niat untuk 'menangguk di air yang keruh' apabila hanya mahu mengesahkan cerita pembunuhan rekaan itu sahaja tanpa mendengar penjelasan sebenar daripada dia dan adik-beradik Adam yang lain.

Lebih malang dakwanya, ada pihak tertentu seolah-olah ‘bersu­bahat’ untuk mem­provokasi kisah Adam de­ngan bertanyakan mengenai adik mereka yang didakwa mati di tangan kerabat diraja Johor itu.

Difahamkan soalan itu juga ditanya berkali-kali seperti satu cubaan untuk mendoktrinkan Adam dengan isu berkenaan.

Selain Hawa dan Arman, enam lagi adik kepada Adam ialah Anisah, Azimah, Azimat, Arina, Ardan dan Arzat.

Azimah bagaimanapun merupakan satu-satunya adik Adam yang telah meninggal dunia selepas terlibat dengan tragedi kebakaran pada 1975 iaitu ketika berusia tujuh tahun.