Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan, rakyat Qatar boleh menunaikan ibadah itu pada bila-bila masa walaupun empat buah negara antike­ganasan termasuk Arab Saudi me­mutuskan hubungan diplomatik dengan negara ber­kenaan.

Lapor portal Arab News, ke­men­terian itu memaklumkan, bagi ibadah umrah, rakyat Qatar boleh memasuki Arab Saudi de­ngan mana-mana pesawat kecua­li Qatar Airways.

Rakyat Qatar dan ekspatriat yang memiliki visa residen negara itu dan mempunyai permit haji daripada kementerian di negara ini atau mana-mana pertubuhan yang berkaitan di negara sendiri boleh memasuki Arab Saudi menerusi syarikat penerbangan yang telah dipilih Doha dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Penerba­ngan Awam Arab Saudi (GACA).

Namun untuk musim haji tahun ini, mereka hanya dibenarkan memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Putera Mohammed Abdul Aziz di Madinah.

Dalam pada itu, lapor kementerian tersebut, jumlah visa untuk jemaah umrah tahun ini me­ningkat kepada 6.75 juta.

Sebelum ini, Arab Saudi dan tiga buah negara Teluk lain yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar telah menghantar senarai 13 tuntutan kepada negara itu dalam usaha menamatkan krisis tersebut.

Senarai berkenaan yang dise­rahkan kepada Qatar oleh Kuwait iaitu negara yang menjadi orang tengah dalam krisis tersebut, menuntut Qatar menutup operasi media Al-Jazeera, memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran dan menutup pangkalan tentera Turki di negaranya.

Negara-negara berkenaan termasuk Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain turut menuntut Qatar memutuskan hubungan de­ngan kumpulan Ikhwanul Muslimin dan kumpulan lain termasuk Hezbollah, Al-Qaeda dan kumpulan pengganas Daesh.