Timbalan Ketua PKR Cabang Arau, Mohammad Faisol Abd. Rahman berkata, beliau berpendapat adalah tidak perlu berbuat demikian kerana tidak pernah wujud tentangan untuk menjatuhkan Anwar.

Dalam masa sama, beliau turut menyokong kenyataan Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha sebelum ini yang menyifatkan tindakan untuk mengumpulkan tanda tangan menyokong Anwar sebagai membuang masa.

"Kenapa perlu ada kumpul tanda tangan sedangkan tidak wujud tentangan untuk menjatuhkan Presiden parti. Jika ada pun hanya kritikan kepada Presiden ke arah kebaikan dan ini tidak menyanggah amalan demokrasi.

"Tindakan ini hanya akan mengundang persepsi buruk kepada parti sendiri dan kemungkinan persepsi ini kepada Anwar. Hal demikian kerana rakyat muak dan mual dengan isu pengganti Perdana Menteri sedangkan kestabilan ekonomi dan sosial masih lagi belum pulih," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Ketua PKR Cabang Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa lebih 90 peratus atau 197 daripada 219 Ketua Bahagian PKR di seluruh negara menyokong kepemimpinan Anwar dan menafikan berlaku perpecahan dalam parti itu.

Amin mendakwa, semua ketua bahagian itu telah dihubungi dan tanda tangan pengesahan mereka turut diperolehi berdasarkan perakuan mereka yang menandatangani resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan PKR di Port Dickson pada 21 Julai lalu.

Sementara itu, Mohammad Faisol turut menyeru agar semua pihak memberi fokus kepada isu penyelesaian rakyat dan bukannya terus bergelumang dengan isu pengganti Perdana Menteri.

Kata bekas Pengerusi PKR negeri itu, berilah kepercayaan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk terus memulihkan keyakinan pelabur seterusnya menjadikan Malaysia sebagai pusat tumpuan pelaburan.

"Sentimen dan isu bila Dr. Mahathir akan serahkan tampuk pemerintahan hanya akan menghilangkan keyakinan para pelabur dan sebagai suatu ancaman sabotaj ke arah pemulihan negara," katanya.- UTUSAN ONLINE