Indeks itu adalah berdasarkan hasil kajian Indeks Budaya Sukan Malaysia 2018 yang melibatkan 8007 responden di seluruh negara oleh agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

Eksekutif Penyelidik Kanan IYRES, Mastura Mohamad berkata, indeks budaya bersukan di Malaysia yang menunjukkan skor sebanyak 53.1 itu merupakan satu perkembangan positif dalam membudayakan amalan bersukan di negara ini.

“Sukan yang paling digemari adalah badminton, itu adalah yang tertinggi selain berjoging, berbasikal, yoga dan aktiviti rekreasi seperti mendaki,” kata Mastura ketika dijemput sebagai tetamu dalam segmen Mornink Blues di Utusan Online hari ini.

Indeks Budaya Sukan Malaysia 2018 telah dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 28 Februari lalu dan merupakan indeks pertama dihasilkan di dunia serta dalam negara.

Dalam pada itu, menurut Mastura, dapatan lain yang diperolehi melalui kajian berkenaan turut menyaksikan peratusan rakyat Malaysia yang sangat aktif bersukan pada tahun lepas mencatatkan peningkatan sebanyak 42.9 peratus iaitu 52.9 peratus berbanding tahun sebelumnya hanya 13 peratus sahaja.

Jelasnya lagi, peratus penglibatan rakyat Malaysia adalah sebanyak 69.6 peratus pada tahun 2018. Peratusan itu sekaligus menunjukkan sasaran sebanyak 50 peratus rakyat Malaysia mengamalkan budaya bersukan pada tahun 2020 telah dicapai lebih awal.

“Walau bagaimanapun, pencapaian sasaran ini akan dilihat semula pada tahun 2020 melalui pelaksanaan kajian yang mengukur pencapaian tahun semasa. Sangat aktif bersukan dalam kajian kami bermaksud sekurang-kurangnya lima kali seminggu rakyat Malaysia bersukan dengan minimum 30 minit setiap sesi.

“Ini merupakan satu peningkatan yang sangat baik seperti yang disasarkan oleh negara ini untuk rakyatnya membudayakan sukan menjelang tahun hadapan dengan menjadikan aktiviti fizikal dan sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

“Saya berharap indeks ini menjadi rujukan kepada semua pihak kerana terdapat banyak data yang dibangunkan boleh digunapakai untuk melaksanakan program yang membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat kita,” katanya.

Jelas Mastura, antara faktor pendorong kepada budaya bersukan di negara ini adalah untuk mengekalkan kesihatan, mengekalkan kecergasan, mengisi masa lapang, mengurangkan tekanan, meluangkan masa bersama rakan dan minat.

Manakala, antara faktor penghalang termasuk rakyat tiada masa untuk bersukan, malas, tiada teman untuk melakukan aktiviti bersukan, tidak berminat dan tiada galakan.

Untuk maklumat lanjut, Indeks Budaya Sukan Malaysia 2018 boleh didapati di laman web rasmi IYRES, www.iyres.gov.my – UTUSAN ONLINE