Selagi tidak ada pelan ekonomi yang baik, kos sara hidup rakyat tetap akan me­ningkat dan membebankan terutama­nya dalam kalangan berpendapatan rendah B40.

Pakar ekonomi, Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin berkata, nilai mata wang ringgit jatuh, harga minyak global tidak menentu dan kadar inflasi me­nyusut setiap tahun, tidak memberi gambaran kos sara hidup rakyat yang sebenar.

Sehubungan itu, katanya yang bertugas di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perban­kan Universiti Utara Malaysia (UUM), kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik untuk me­ningkatkan kuasa beli rakyat iaitu pelan ekonomi jangka pendek dan panjang.

“Rakyat hanya ma­hukan jaminan da­ripada kerajaan da­ri­pada sudut pe­lan ekonomi jangka pendek iaitu melin­dungi jaringan ke­selamatan sosial de­ngan meningkatkan bantuan-bantuan kewangan untuk rakyat termasuk Bantuan Sara Hidup (BSH) dan elaun-elaun lain. Bagi pelan jangka panjang pula, rakyat mengharapkan pelan ekonomi drastik selain memberi tumpuan kepada pe­ngurangan kos sara hidup dalam tempoh lima tahun.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mempersiapkan golongan muda untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0 (I.R 4.0) dan mena­ngani masalah pengangguran siswazah dengan menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas ke­nyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kadar inflasi negara bagi tahun ini dijangka berada pada paras 1.6 hingga dua peratus berikutan faktor ketidakstabilan pasaran global.

Guan Eng berkata, keadaan ekonomi negara dijangka lebih baik walaupun kadar inflasi pada tahun ini akan berbeza-beza ke­rana ia bergantung kepada ke­ti­daktentuan global.

Menurut Irwan Shah lagi, inflasi yang menyusut juga boleh memberi gambaran berlakunya kelembapan ekonomi sesebuah negara.

“Pada saya, jika kadar infla­si menurun, ia menggambarkan kelembapan pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Apa yang kita perlukan adalah satu pertumbuhan yang mapan,” ujarnya.