Pensyarah Kanan di Western Mindanao State University, Fili­pina, Prof. Madya Alih Sakaluran Aiyub berkata, penguatkuasaan undang-undang itu membawa makna yang cukup besar untuk seluruh rakyat Fili­pina, terma­suk yang beragama Kristian.

ALIH SAKALURAN AIYUB
ALIH SAKALURAN AIYUB 

“Undang-undang ini jelas bukan hanya untuk penganut Islam di Mindanao, sebaliknya keseluruhan rakyat di Filipina yang selama ini menuntut hak dan keadilan.

“Langkah seterusnya yang perlu diambil selepas ini adalah mencari jalan untuk membangunkan semula Mindanao supaya penduduk Bangsa­moro dapat membina kehidupan masing-masing dan keluar daripada kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel unda­ngan Bengkel Perbincangan dan Pembentangan Penyelidikan Akhir Wasatiyah Centre of Peace (WCP), di Bangi, dekat sini hari ini.

WCP merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh Datuk Dr. Na­sha­rudin Mat Isa merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya bagi mengintegrasikan wacana kebudayaan damai melalui perspektif Islam dalam pelbagai budaya dan agama seluruh dunia.

Dalam perkembangan sama, Alih Sakaluran berkata, antara sebab lain undang-undang tersebut diterima oleh majoriti rakyat Filipina kerana pelbagai insiden keganasan kerap berlaku di negara tersebut akhir-akhir ini.

“Jika dahulu serangan bom banyak tertumpu di Mindanao tetapi kini di seluruh Filipina seperti di Merawi, Sulu dan Kedutaan Amerika Syarikat di Manila,” katanya.

Pada 26 Julai lalu, Presiden Rodrigo Duterte meluluskan undang-undang tersebut bagi membenarkan minoriti Muslim di selatan negara itu melangkah ke arah pemerintahan sendiri pada 2022.

Pemberian kebenaran itu di­lihat sebagai usaha mena­ngani ekstremisme dan menghapuskan konflik pemisah selama setengah abad.

Lampu hijau itu adalah kemuncak perjanjian damai yang panjang dan tidak kukuh dengan golongan pemisah selain me­nyaksikan kumpulan militan dikaitkan de­ngan Daesh meluaskan pengaruh dan paling menonjol dalam pencerobohan ke atas Marawi tahun lalu.