Menurut Perdana Menteri, peralihan kuasa itu pula berlaku secara aman tanpa pertumpahan darah yang mana proses tersebut tidak banyak berlaku di negara-negara yang menyaksikan perubahan tampuk pemerintahan.

Sehubungan itu, tambah beliau, rakyat perlu menunjukkan semangat kebebasan yang dirasai mereka tersebut dengan mengibarkan Jalur Gemilang khususnya sepanjang bulan ini tanpa mengira di mana mereka berada.

“Ogos adalah sinonim dengan Bulan Kebangsaan dan perlu diisi dengan aktiviti berbentuk patriotik bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara.

“Paling mudah adalah dengan mengibarkan Jalur Gemilang, kempen ini tidak akan bejaya jika rakyat Malaysia tidak sokong, jadi berbanggalah untuk mengibarkan Jalur Gemilang walau di mana sekalipun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 sempena sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos ini di Padang Kota Lama di sini malam ini.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Sing­h Deo dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Dalam program itu juga, Dr. Mahathir turut melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang membabitkan 20 buah kenderaan dan 40 buah motosikal berkuasa tinggi yang akan me­rentas seluruh negara sehingga ke Labuan.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, pemilihan Sayangi Malaysiaku sebagai tema sambutan Bulan Kebangsaan kali ini juga disifatkan tepat pada masanya dalam usaha kerajaan dan rakyat bersama-sama menyelamatkan negara daripada beban hutang.

Sehubungan itu, beliau me­minta rakyat memberi masa kepada kerajaan untuk mengembalikan semula Malaysia ini sebagai negara yang disegani setanding de­ngan jolokan Harimau ASEAN.

“Merdeka bukan sahaja bebas dari cengkaman kuasa dan minda penjajah, tetapi termasuk me­nyayangi negara dengan sepenuh hati dan sanggup berkorban untuk negara dengan apa cara sekali pun,” katanya.