Norliyana Mohamad Yazid, 30, dari Bandar Ekar dekat sini hadir di pusat mengundi tersebut pada pukul 11.20 pagi ditemani pasangannya, Mohamad Adham Adnan, 36.

Menurut Norliyana, dia ternyata gembira apabila hari pengundian berjalan serentak dengan majlis kenduri di pihak sebelah suaminya yang diadakan di Paroi, Seremban.

“Saya amat gembira majlis perkahwinan kami berjalan serentak dengan PRK DUN Rantau hari ini. Kebetulan tarikh ini memang pihak suami sudah pilih lama, jadi tidak boleh tunda dan terpaksa teruskan.

“Rasa sedikit gementar untuk mengundi hari ini kerana kami hadir memakai pakaian pengantin sehingga menjadi perhatian ramai orang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Norliyana memaklumkan, mereka dinikahkan pada 23 Mac lalu dan majlis kenduri di pihaknya telah diadakan sehari selepas itu. - UTUSAN ONLINE