Lawatan tersebut dianjurkan sempena Seminar Institusi Raja Edisi Kelima (SIRaj V) yang antara lainnya bertujuan untuk mempelajari sejarah kesultanan di Sulawesi Selatan.

Baginda yang juga Canselor Unimap dibawa melawat ke Muzium Balla Lampoa yang terletak di Kabupaten Gowa yang menempatkan bangunan Istana Lama warisan Kesultanan Raja Gowa.

Selain itu, baginda turut dibawa melawat Makam Pahlawan Nasional Sultan Hassanuddin yang juga merupakan Raja Gowa Ke-16.

Baginda kemudiannya berkenan menunaikan solat zohor di masjid tertua di Makassar iaitu Masjid Tua Katangka selain turut berkenan beramah mesra dengan jemaah masjid.

Yang turut menyertai lawatan tersebut Pengarah Institut Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti (IKRK) Unimap, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, Pengarah Unit Komunikasi Korporat Unimap, Mustaffa Ismail dan Ketua Lembaga Penelitian dan Pengabadian Masyarakat Universiti Islam Negeri (UIN) Alauddin Makassar, Prof. Dr. Muhammad Salleh Tajuddin. - UTUSAN ONLINE