Titah baginda, gejala sosial seperti merempit, penyalahgunaan dadah, ketum dan lain-lain lagi boleh merosakkan masa depan mereka.

“Justeru, beta berharap agar semua pihak, jabatan-jabatan berkaitan dan agensi keselamatan dapat melaksanakan program-program pencegahan dan pembasmian yang efektif bagi mengatasi masalah ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan melancarkan program kayuhan keharmonian agama bersama generasi muda yang bermula di perkarangan surau Kolej Matrikulasi Perlis dan berakhir di Masjid Muhammadiah, Guar Gajah, di sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Perpaduan) negeri, Mohd Rosli Alias.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik dan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Sementara itu, baginda yang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, para pemimpin di semua peringkat, ibu bapa dan guru perlu memberi kesedaran kepada golongan belia supaya mempunyai semangat patriotik dan cintakan negara.

“Melalui cara itu, sahsiah mereka akan dapat dibentuk dengan mantap dan ketahanan diri ditingkatkan dengan lebih utuh,” titah baginda. - UTUSAN ONLINE