Rafale Touch ditempatkan di sebuah bilik kecil gelap sejak Selasa sehingga esok bagi memudahkan pengunjung memahami dengan lebih mendalam mengenai keupayaan jet pejuang pelbagai guna itu.

Melalui sistem tersebut, Rafale mampu menunjukkan kehebatannya untuk terlibat dalam pelbagai misi peperangan secara visual, berlainan dengan persembahan aerobatiknya yang hanya menampilkan kehebatan dengan gerakan memukau di udara.

Sistem yang dipaparkan secara visual melalui skrin sesentuh menampilkan maklumat secara terperinci mengenai pesawat Rafale, termasuk kemampuan membawa pelbagai jenis senjata seperti peluru berpandu jarak jauh.

Rafale juga berkeupayaan terlibat dalam pelbagai misi dalam satu sortie (penerbangan) dengan memiliki fleksibiliti untuk berlepas membawa beban keseluruhan sehingga 24.5 tan.

Di pameran itu, syarikat berpangkalan di Perancis itu turut memberi peluang kepada pengunjung memahami sistem dan peralatan dalaman yang dimiliki pesawat tersebut melalui sistem yang dinamakan sebagai Augmented Reality.

Sistem itu direka bagi kemudahan jurutera untuk memahami keadaan sebenar pesawat bagi tujuan penyelenggaraan dan sokongan. – BERNAMA