Ketika kejadian kira-kira pukul 9 malam, mangsa Azman Mohd. Nor, 46, sedang membaik pulih bumbung rumahnya yang bocor selepas dipukul angin sebelum itu.

Azman berkata, ketika sedang melakukan kerja-kerja baik pulih itu, dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan mendapati bahan pokok bongor di belakang rumah telah tumbang.

"Saya terus keluar menyelamatkan diri dan selepas itu terkejut mendapati betis kiri sudah belumuran darah. Saya tidak sedar betis luka dan mungkin terkena zink.

"Selepas itu saya terus dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut dan pemeriksaan mendapati urat betis saya terputus," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kedap, di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati bahagian bilik dan rumah Azman ranap dihempap dahan pokok bongor.

Sementara itu, isteri Azman, Rosinah Mat Ghani, 49, berkata, kawasan rumahnya dan penduduk sekitar dilanda ribut ketika dia sedang berada di dalam bilik bersama anak bongsu serta cucu yang berusia setahun.

"Disebabkan ribut terlalu kuat, anak bongsu Farah Anisha, 12, mengajak saya untuk keluar dari bilik dan tidur di luar kerana takut dengan bunyi desiran angin itu.

"Selang dua tiga langkah, kami dikejutkan dengan dentuman kuat apabila dahan pokok bongor tumbang lalu menghempap bilik dan bahagian dapur rumah," ujarnya. - UTUSAN ONLINE