Puspakom dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah menyerahkan laporan pemeriksaan itu petang Rabu lalu susulan pemeriksaan kemalangan terhadap bas sekolah tersebut dilakukan bersama dengan PDRM, JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 9 Julai lalu.

Menurut kenyataan Puspakom berhubung bas terlibat insiden di Kelantan, kenderaan ini telah melalui pemeriksaan berkala pada Mei dan berdasarkan rekod dan gambar-gambar pemeriksaan.

“Puspakom telah memeriksa bas sekolah tersebut mengikut skop dan piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta semua item pemeriksaan pada bas sekolah tersebut adalah dalam keadaan baik.

“Puspakom tidak boleh memberi kenyataan mengenai laporan tersebut secara lebih lanjut kerana ia di bawah siasatan polis. Bagaimanapun, Puspakom ingin menegaskan bahawa tidak akan berkompromi terhadap kenderaan yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, daripada 26,000 bas berkala bagi bas-bas sekolah yang diperiksa, lebih 7,300 buah telah gagal pemeriksaan Puspakom kerana tidak mengikut piawaian pemeriksaan bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 30 Jun lalu.

“Pemeriksaan dijalankan merangkumi bahagian atas dan bawah kenderaan, brek, sistem gantungan kenderaan, gelincir sisi, asap dan lain-lain lagi yang tertakluk dalam skop pemeriksaan.

“Rekod ini jelas menunjukkan bahawa Puspakom tidak sewenang-wenangnya meluluskan kenderan yang tidak menepati skop dan piawaian pemeriksaan,” ujar kenyataan itu lagi. - UTUSAN ONLINE