NG CHOK SIN
NG CHOK SIN

Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Selangor, Datuk Ng Chok Sin berkata, dalam masa terdekat ini Pakatan Harapan dilihat tidak mengambil berat kebajikan dan masalah rakyat tetapi lebih menumpukan kepada pendedahan ‘skandal-skandal’ kerajaan sebelum ini dalam usaha mengalih perhatian rakyat.

“Pengumuman kerajaan mengenai gaji minimum yang ditetapkan sebanyak RM1,050 telah menghampakan rakyat kerana apa yang dijanjikan sebelum ini adalah RM1,500 dan lebih menyedihkan keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) terlalu ‘memanjakan’ rakyat dan menyeru rakyat ‘berdikari’ dan menggesa bumiputera untuk membuang tongkat yang diberikan kerajaan selama ini.

“Pusingan U terbaharu ini jelas menggambarkan sikap hipokrit kerajaan hari ini dan kegagalan DAP dan PKR untuk mengawal, menyemak dan mengimbangkan Dr. Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan kerajaan untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Mengulas lanjut, Chok Sin berkata, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH telah menabur pelbagai janji dengan tujuan menarik sokongan rakyat, malah Dr. Mahathir pernah mengakui pada masa itu kebanyakan janji yang disenaraikan dalam manifestonya tidak mampu dipenuhi.

“Ini bermakna PH telah hentam sahaja manifesto dan sekarang rakyat terkejut mengenai kerajaan baharu melanggar janji yang dibuat seperti pemansuhan tol, menurunkan harga minyak dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” jelasnya. - UTUSAN ONLINE