Bertindak hasil risikan serta maklumat orang awam, operasi selama satu jam setengah bermula pukul 10 malam itu disertai lapan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Perak.

Sewaktu serbuan dibuat, wanita-wanita berkenaan sedang asyik melayan pelanggan sebelum mereka bertindak cuba melarikan diri serta ada yang bersembunyi di sebalik tirai dan pintu sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Terdapat juga pelanggan-pelanggan yang sedang menunggu giliran bagi mendapatkan perkhidmatan kerana ia dikatakan 'full house'.

Premis tersebut yang beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 1 pagi menawarkan bayaran sebanyak RM55 bagi perkhidmatan urutan biasa manakala RM155 bagi pakej urutan dan seks.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, hasil serbuan pihaknya turut menemukan kondom di bilik pusat terapi berkenaan yang dipercayai digunakan untuk melayan pelanggan.

Beliau berkata, sebanyak 22 individu telah diperiksa terdiri daripada pelbagai warganegara.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 12 orang telah ditahan melibatkan tujuh wanita warga China, dua wanita warga Thailand serta seorang wanita masing-masing melibatkan warga Vietnam dan warga Indonesia.

"Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan antara 35 tahun hingga 50 tahun. Turut ditahan ialah seorang lelaki warga tempatan berumur 33 tahun yang merupakan majikan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah, memiliki pengesahan palsu dalam pasport serta menggaji warga asing tanpa pas yang sah.

Sehubungan itu katanya, mereka ditahan untuk siasatan bagi diambil tindakan selanjutnya. - UTUSAN ONLINE