Pengerusi Persatuan Kebajikan Tahfiz Kelantan (Peketak), Ir. Meor Shamshir Meor Zulkifli Auni berkata, selain faktor kewangan, antara faktor lain kegagalan pusat tahfiz menepati kriteria keselamatan ditetapkan adalah disebabkan masih wujud ‘ruang kosong’ atau jurang dengan pihak berkuasa.

“Seharusnya, ruang kosong antara pengusaha dengan pihak berkuasa yang bertanggungjawab memastikan peraturan keselamatan bangunan dikuatkuasakan perlu diisi oleh golongan profesional atau komuniti yang sedar tentang keperluan ini.

“Usaha ini perlu digembleng bersama bagi memastikan generasi penghafal al-Quran dijaga sebaiknya sepertimana kita menjaga para siswa dan siswi di institusi-institusi pengajian tinggi lain di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan JBPM mendapati sebanyak 495 buah daripada 1,267 pusat tahfiz yang diperiksa di seluruh negara berdepan risiko kebakaran sekali gus boleh mengundang bahaya kepada penghuninya.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, selepas pemeriksaan dilakukan, hanya 772 pusat tahfiz menepati kriteria ditetapkan JBPM.

Mengulas lanjut, Meor Shamshir berkata, dalam mengoperasi sebuah pusat tahfiz, seseorang mudir atau pengusaha bukan sahaja perlu memiliki pengetahuan silibus pengajian, malah perlu ada kesedaran dan pengetahuan berkaitan keselamatan pelajar dan bangunan.

Para pengusaha terbabit kata beliau, perlu lebih terbuka menerima khidmat nasihat pihak lain.

“Mudir seorang ilmuan agama namun mereka mungkin mempunyai ilmu terhad berkaitan keselamatan dan masih perlu merujuk pihak berkuasa atau kumpulan profesional seperti bomba, jurutera serta arkitek bertauliah,” katanya.

Tambah beliau, Peketak yang ditubuhkan pada 2014 sedia memainkan peranan mendekatkan pengusaha dan pihak berkuasa di negeri ini, sekali gus mewujudkan kesedaran tentang keperluan penguatkuasaan peraturan keselamatan bangunan di pusat-pusat tahfiz.

Melalui intervensi dengan pihak berkuasa pula katanya, Peketak akan berusaha membantu memenuhi keperluan pusat-pusat tahfiz sepanjang proses memohon kelulusan berkaitan aspek keselamatan seperti yuran permohonan serta mendapatkan giliran pemeriksaan. - UTUSAN ONLINE