Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, pusat-pusat itu perlu ditambah subjek-subjek yang boleh membantu masa depan golongan itu di sudut intelektualisme dan kemahiran lain.

"Tahfiz perlu diperkukuh dengan mewajibkan elemen-elemen penting untuk membolehkan mereka bersaing dengan realiti yang ada.

"Juga untuk mengelakkan fahaman agama yang sempit dan bagi melihat Islam daripada dimensi yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menerusi catatan dalam blognya semalam, Zainuddin mencadangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa agar semua sekolah tahfiz di negara ini ditutup kerana tidak memberikan harapan masa depan kepada generasi baharu Islam.

Zainuddin juga mahu Mujahid mencegah sekolah agama menjadikan ‘pakaian Arab’ sebagai pakaian seragam.

Cadangan tokoh wartawan itu bagaimanapun mendapat tentangan dan kecaman pelbagai pihak yang menggesa beliau supaya tidak mengeluar saranan kurang cerdik seperti itu lagi. - UTUSAN ONLINE